Idea tertubuhnya Sek Men Imtiaz yang pertamanya di Besut, Terengganu pada tahun 1999 adalah dengan misi untuk mengembalikan Kegemilangan Islam Andalusia yang satu ketika dulu banyak melahirkan cendekiawan-cendekiawan hebat seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Sina, Al Farabi dan lain-lain lagi.
Pada masa kegemilangan itu wujudnya ketamadunan yang hebat yang disebut dalam Al-Quran sebagai Khaira Ummah yang mampu menyeru masyarakat ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.








Mereka ini terbukti telah berjaya mengangkat nama Islam dengan kehebatan dalam pelbagai bidang yang disebut sebagai Multi Disciplinary dan berkeupayaan untuk bertutur dalam banyak bahasa iaitu Multi Ligual. Cendekiawan-cendekiawan ini semuanya bermula dengan asas Al-Quran yang kukuh bukan sekadar membaca dan menghafal tetapi sehinggalah kepada mentafsir dan mentadabbur isi kandungan Al-Quran itu sendiri.
Atas faktor inilah, lahirnya idea Ulul Albab yang diterjemahkan oleh Tan Sri Idris Jusoh dengan penerapan 3 elemen utama di Imtiaz Besut iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik.
Menjelang tahun hadapan Imtiaz akan berusia 25 tahun. Rentetan daripada itu satu usaha telah dilakukan oleh Alumni Imtiaz (ALIM) yang diketuai oleh YM Raja Azman Raja Kadir,Presiden ALIM untuk mengumpul semula bekas-bekas pelajar Imtiaz terutamanya Imtiaz Besut dalam satu Program Santai Bicara Ulul Albab bertempat di Dewan B, MAEPS Serdang yang turut sama dihadiri oleh Tan Sri Idris Jusoh, Penaung ALIM serta Dr Wan Ahmad Zikry, Penasihat ALIM. Turut bersama dalam program ini adalah wakil daripada KARIB (Kelab Alumni & Rakan Imtiaz Besut) serta ILMUAN (Ikatan Legasi Mahasiswa Ulul Albab Nasional).







Pada waktu yang sama, Dr Wan Zikry menyeru supaya semua Alumni Imtiaz dan Ulul Albab yang wujud ketika ini sama-sama bersatu tenaga serta berganding bahu bagi memastikan misi Andalusia 2.0 di bumi Malaysia akan terlaksana menjelang tahun 2050.